Kuala Lumpur: “Mereka (kerajaan sementara Mesir) cuba mengalih tumpuan dunia dengan mendakwa mereka sedang memerangi puak pengganas termasuk melabelkan kami kononnya bersaudara dengan kumpulan Al-Qaeda dan Taliban,” kata penyokong Presiden Mohamed Mursi yang digulingkan, Dr Maha Abou El-Azz.
Beliau yang dihubungi Harian Metro di Kaherah semalam berkata, propaganda itu sengaja dicipta bagi mengalihkan tumpuan dunia selain mengurangkan rasa simpati antarabangsa terhadap kezaliman dilakukan mereka saban hari.
“Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada kami (penyokong Mursi dan Ikhwanul Muslimin) kononnya kami menyeludup senjata api ke Dataran Raba’ah termasuk Ramsis.
“Terbaru semalam, pihak tentera menuduh kami menggunakan pasukan penembak hendap di menara Masjid Al-Fatah, Ramsis kononnya untuk menembak anggota polis,” katanya.
Menurutnya, tuduhan itu tidak masuk akal kerana helikopter tentera didapati berlegar-legar berhampiran menara masjid berkenaan. “Jika benar mereka adalah penyokong Mursi...sudah tentu helikopter itu sudah ditembak jatuh.
“Kami dituduh sebagai pencetus kekacauan di Mesir. Kami didakwa mencetuskan keganasan dan tidak menghormati hak asasi manusia sedangkan pada masa sama, rakyat Mesir terus dibunuh setiap hari,” katanya.
POLIS berpakaian preman mengacukan pistol ke arah penyokong Ikhwanul Muslimin ketika mereka diiringi pasukan keselamatan daripada kepungan penyokong kerajaan sementara di Masjid Al-Fatah, Kaherah.
Dr Maha yang terselamat dalam serangan yang meragut nyawa hampir 3,000 penyokong Mursi di Medan Raba’ah, pagi Rabu lalu mendakwa keganasan berterusan pihak polis dan tentera hanya akan membuatkan lebih ramai rakyat Mesir bangkit dan bersatu.
“Mereka (kerajaan sementara) yang merampas kuasa daripada Mursi menyangka mereka ‘kebal’ kerana dibantu pasukan keselamatan selain mendapat sokongan kerajaan Kuwait, Arab Saudi dan Jordan.
“Keadaan sekarang menampakkan majoriti rakyat Mesir membenci Menteri Pertahanan Mesir (Jeneral) Abdul Fatah Al-Sisi. Cara Al-Sisi menangani penyokong Mursi amat dahsyat dan lebih teruk dari zaman Presiden Hosni Mubarak,” katanya.
Menurutnya, ketika zaman pemerintahan Mubarak selama 30 tahun, hampir 5,000 penyokong Ikhwanul Muslimin dipenjarakan, namun tidak dibunuh.
“Namun, Al-Sisi hanya mengambil masa dua bulan untuk membunuh lebih 4,000 penyokong Mursi yang melakukan demonstrasi secara aman. Dalam demonstrasi dilakukan semalam (kelmarin), seramai 213 penyokong Mursi terbunuh akibat ditembak,Jumlah korban itu meningkat berbanding 173 penyokong Mursi yang maut pada Jumaat lalu,” katanya.myMetro
0 Response to "kerajaan sementara Mesir Lebih kejam dari Mubarak"
Post a Comment