Muhammad Ridzwan Sulaiman |
KUALA LUMPUR - Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiyah Datuk Seri Muhammad Ridhwan Sulaiman mendakwa Jamalul Kiram, yang dipercayai dalang pencerobohan pengganas di Sabah, bukan keturunan sultan Sulu sebenar.
Sebaliknya, Muhammad Ridhwan berkata keturunan kesultanan Sulu sebenar adalah Muedzul Lail Tan Kiram, iaitu anak kandung kesultanan Sulu terakhir yang diiktiraf kerajaan Filipina.
Beliau berkata atas faktor itu pertubuhannya menjalankan urusan transaksi kebajikan dengan Muedzul Lail.
"Saya pernah pergi tiga kali ke Jolo, selatan Filipina. Berdasarkan poster gambar terpampang wajah Muedzul Lail di setiap penjuru jalanan dan reaksi masyarakat di sana menunjukkan Muedzul Lail adalah anak kandung sultan Sulu terakhir yang diiktiraf Filipina.
"Sebab itu saya bawakan satu buku kuning dan cek untuk menunjukkan bukti kepada polis bahawa saya tidak kenal Jamalul Kiram itu siapa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhammad Ridhwan berkata berdasarkan pertemuan dengan Muedzul Lail, beliau dimaklumkan bahawa keturunan sultan Sulu tidak boleh menuntut semula Sabah dari Malaysia dan Muedzul Lail menunjukkan beberapa surat serta dokumentasi yang membuktikan tiada tuntutan boleh dibuat keturunan sultan Sulu terhadap Sabah.
Ditanya mengenai perjanjian pajakan Sabah itu tamat pada 2015 dan kedatangan penceroboh terbabit ingin memperbaharui perjanjian itu, Muhammad Ridhwan menegaskan: "Tidak benar, dia (sultan Sulu ketika itu) tiada perjanjian dateline (tiada tempoh), dia (sultan Sulu ketika itu) serahkan pada British untuk dibangunkan".
Muhammad Ridhwan yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes pencerobohan di Sabah, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini hari ini.
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata Muhammad Ridhwan, tidak terlibat dengan pengganas bersenjata dari selatan Filipina tetapi boleh membantu polis dalam siasatan berhubung kes pencerobohan di Lahad Datu 12 Feb lepas. - Bernama
0 Response to "Ridhwan: Jamalul Kiram bukan keturunan sultan sah"
Post a Comment