Warga emas di penjara 15 tahun



KUANTAN – Mahkamah Tinggi Kuantan semalam menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara terhadap seorang warga emas selepas didapati bersalah membunuh adik iparnya dua tahun lalu.


Rombeli Zainol Abidin, 66, menerima hukuman itu dari tarikh tangkap selepas mendengar bukti yang dikemukakan Timbalan Pendakwaraya, Amer Abu Bakar Abdullah.

Bapa kepada empat anak itu tenang kelihatan ketika Hakim, Datuk Seri Mariana Yahya menjatuhkan hukuman yang turut disaksikan ahli keluarga lain.

Mariana sebelum menjatuhkan hukuman berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana tertuduh dan mangsa ada talian persaudaraan dan bergaduh hanya kerana tanah.

“Sesiapa pun tidak boleh melakukan sesuka hati dan setiap orang perlu bertanggungjawab atas kelakuan sendiri,” katanya.

Bekas pesawah itu dibuktikan membunuh adik iparnya, Mohammad Romli Hashim pada 17 Ogos 2011 kira-kira jam 6 petang di kawasan sawah padi Kampung permatang Cekeroh, Nenasi, Pekan.

Rombeli, dari Kampung Serun, Nenasi itu juga pernah bekerja sebagai buruh di sebuah syarikat memproses ayam dan potong besi di Pulau Pinang.

Ketika pendakwaan Amer berkata, tertuduh perlu menerima hukuman setimpal kerana keluarga mangsa masih trauma dan isteri mangsa kehilangan tempat bergantung selain menderita angin ahmar dan darah tinggi.

Sementara itu, Peguambela tertuduh, Mohd Fadzli Ramli dalam pembelaan berkata, Rombeli kini menderita penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Tertuduh hanya mempertahankan diri kerana mangsa masuk ke kawasan sawahnya dan bukan niat tertuduh untuk membunuh memandangkan dia tidak menyerang organ penting,” katanya.

Mangsa mati akibat salur darah di bahagian paha putus dan kehilangan banyak darah kerana tertuduh menggunakan parang. Rombeli diperintahkan menjalani hukuman penjara di Pulau Pinang bagi memudahkan keluarganya melawat berikutan isteri dan
anak-anaknya berpindah ke negeri itu selepas kejadian berkenaan.  SH

0 Response to "Warga emas di penjara 15 tahun"

Post a Comment