Pembunuhan Adik Nur Amyliana di lemaskan dengan objek



SHAH ALAM 10 Mei - Bedah siasat ke atas Nur Amyliana Shuhada Mohd. Noor mendapati, kanak-kanak berusia 11 tahun itu mati akibat lemas (asphyxia death).



Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Senior Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusop berkata, peralatan seperti tuala atau bantal mungkin digunakan oleh suspek untuk melemaskan mangsa.

Menurutnya, doktor turut mengesahkan tiada kesan kecederaan ditemui pada anggota badan tetapi berdasarkan kesan pendarahan di kemaluannya, mangsa telah dirogol sebelum dibunuh.

Dalam pada itu, polis yakin penangkapan dua suspek lelaki semalam mampu membantu siasatan kes rogol dan pembunuhan kejam itu.
Katanya, setakat ini, hanya dua suspek berusia 19 dan 24 tahun dari Sabah itu sahaja yang ditahan.

“Polis masih menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman CCTV (kamera litar tertutup) yang diletakkan di hadapan rumah kedai didiami mangsa.

“Bagaimanapun, rakaman itu tidak jelas dan setakat ini juga tiada tangkapan baru dibuat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mayat Nur Amyliana Shuhada yang dibunuh selepas dirogol dijumpai di tempat letak kereta Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi di sini kira-kira 200 meter dari rumahnya, kelmarin.

Sementara itu, kakak kedua mangsa, Nur Hidayah Tun Erni, 16, berkata, jenazah adiknya selamat dikebumikan pada pukul 11 malam tadi selepas selesai proses bedah siasat.

“Sejurus proses bedah siasat selesai, kami membawa jenazah adik ke rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang dekat sini malam tadi," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang melawat keluarga mangsa hari ini, memohon polis mempercepat siasatan supaya penjenayah terlibat dapat dihukum.

Menurut beliau, hanya manusia berhati binatang yang sanggup melakukan perbuatan kejam seperti itu untuk memuaskan nafsu.

“Kita minta polis menyiasat perkara ini dengan rapi dan jika benar kedua-dua suspek yang ditahan melakukan perbuatan ini, mereka perlu dijatuhkan hukuman yang setimpal.

Penjenayah itu tidak boleh dibiarkan terlepas kerana ia boleh menyebabkan jenayah meningkat dan mengancam masyarakat terutama wanita dan kanak-kanak.

“Ibu mangsa juga akan minta saya usahakan supaya siasatan kes anak ketiganya ini disegerakan kerana bimbang jika penjenayah dibiarkan mereka mungkin akan melakukan perkara sama terhadap kanak-kanak lain," katanya.

Dalam pada itu, Shahrizat yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) menasihati ibu bapa agar lebih berhati-hati kerana beliau dimaklumkan kawasan tersebut agak gelap pada waktu petang dan malam.-utusan

0 Response to "Pembunuhan Adik Nur Amyliana di lemaskan dengan objek"

Post a Comment