Ekspres Sinaran Utara Tergelincir


BEGINILAH keadaan gerabak kereta api Ekspres Sinaran Utara yang tergelincir menyebabkan 150 penumpang terkandas di Kampung Baru, Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM - Lebih 150 penumpang kereta api Ekspres Sinaran Utara terkandas selepas tergelincir di Kampung Baru di sini semalam ketika dalam perjalanan dari Butterworth ke Kuala Lumpur.


Dalam kejadian 2.20 petang itu, lokomotif kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membawa 10 gerabak penumpang itu turut mengalami kebakaran kecil dipercayai akibat kebocoran diesel.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, Rejab Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.25 petang dan sebuah jentera bersama enam anggota tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

"Ketika pihak bomba sampai, kelihatan kepulan asap tebal di bahagian hadapan yang menempatkan enjin kereta api dan kita berjaya mengawal api pada 2.47 petang sebelum ia dipadamkan sepenuhnya 36 minit kemudian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini semalam.

Pemeriksaan awal mendapati kebakaran itu dipercayai bermula di bahagian enjin kereta api yang disebabkan kebocoran tangki diesel.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Tiada penumpang yang cedera dalam kejadian itu," katanya.

Salah seorang penumpang, Tan Way Soon, 21, seorang pelajar berkata kejadian itu menyebabkan dia terlepas makan besar bersama keluarganya di Tapah, Perak sempena Tahun Baru Cina hari ini.

"Saya baru mahu tidur dan tiba-tiba kereta api berhenti agak lama di pertengahan perjalanan sebelum dimaklumkan lokomotif terbakar dan kereta api tergelincir.

"Saya harap dapat segera balik ke Tapah kerana esok (hari ini) mahu sambut Tahun Baru Cina dan kami sedang menunggu pihak pengurusan KTMB untuk mengendalikan jadual perjalanan supaya masing-masing dapat sampai ke destinasi dengan selamat," katanya.

Seorang lagi penumpang Fauzi Mohd. Noor, 50, yang merupakan orang kelainan upaya berkata, dia mendengar bunyi geselan yang kuat dan jeritan orang ramai ketika kejadian berlaku.

Sementara itu, Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Bukit Mertajam, Lau Chiek Tuan berkata, dia sendiri menghubungi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha bagi memaklumkan kejadian itu.

Katanya Cho Ha telah mengarahkan pihak KTMB menguruskan perjalanan kesemua penumpang ke destinasi masing-masing dalam tempoh segera kerana beberapa pelancong asing dari Jepun, China dan Amerika Syarikat turut terlibat dalam kejadian itu. - Bernama

0 Response to "Ekspres Sinaran Utara Tergelincir"

Post a Comment