Bantuan P’sekolahan RM100 Mula Dibayar 15 Januari

 Bantuan Persekolahan RM100 Mula Dibayar 15 Januari

NILAI – Bantuan persekolahan sebanyak RM100 akan disalur kepada pelajar bermula 15 Januari ini, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.
“Duit RM100 ini mesti diserahkan kepada ibu bapa pelajar berkenaan. Sama ada ibu bapa nak guna duit ini nak bayar yuran PIBG (persatuan ibu bapa dan guru), itu hak mereka…tapi pihak sekolah tidak ada hak untuk potong lebih awal,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, kementerian itu mengeluarkan surat pekeliling mengenai perkara tersebut kepada semua sekolah.
“Jadi, kita tidak mahu lagi dengar aduan daripada ibu bapa di mana pihak sekolah mengenakan bayaran terhadap ibu bapa yang menerima bantuan ini,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Benar, SK Sendayang dan Kolej Tunku Kurshiah (TKC) dekat sini, sempena hari pertama sesi persekolahan 2017.
Katanya, selain sekolah kerajaan yang mempunyai lima juta pelajar, bantuan tersebut turut diagih kepada pelajar sekolah lain seperti sekolah jenis kebangsaan, persendirian dan agama.
Bantuan itu diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2017.

Ia adalah kali kedua pembayaran tersebut dilakukan yang meliputi semua pelajar sekolah rendah dan menengah tanpa mengira pendapatan keluarga.
Bagi ibu bapa yang tidak mahu mengambil bayaran tersebut, mereka boleh memulangkannya kepada sekolah yang mesti mengembalikannya kepada Kementerian Pelajaram.
Sementara itu, Puad berkata, sebanyak 428,493 murid memasuki tahun satu di sekolah kerajaan kali ini, sementara sebanyak 15 sekolah baharu (rendah dan menengah) dibuka.
Mengulas perkembangan lain, beliau berkata kementerian akan membina enam kabin sebagai bilik darjah sementara bagi menampung keperluan murid tahun satu di Sk Batang Benar.
“Saya harap dalam tempoh dua minggu ini akan dapat dimulakan kerja pembinaan enam bilik darjah kabin ini. Bilik darjah kabin ini bukan kontena tapi ia adalah bangunan biasa model kabin. Pembinaan kabin ini saya harap dapat disiapkan dalam tempoh tiga minggu,” katanya.
Kesesakan di bilik darjah menyebabkan sebahagian murid tahun satu di sekolah berkenaan terpaksa ditempatkan di surau dan makmal sains.
“Untuk jangka panjang, pihak sekolah ada memohon pembinaan lapan bilik darjah yang baru untuk menampung pertambahan murid sekolah itu. Kita juga akan mempertimbangkan pembinaan sekolah baru di Pajam,” katanya.
Mengenai TKC, beliau berkata, kolej itu berpindah dan memulakan sesi persekolahan secara rasmi di kompleks baharu di Bandar Enstek di sini hari ini.
Kompleks baru TKC terletak di kawasan seluas 17.4 hektar membabitkan kos kira-kira RM75 juta dan boleh menampung sehingga 900 pelajar.
Sebelum ini, kolej itu terletak di Jalan Tunku Kurshiah, Seremban.
Katanya kementerian itu sedia mempertimbangkan permohonan untuk mengekalkan TKC lama di Jalan Tunku Kurshiah sebagai sekolah berasrama penuh untuk pelajar perempuan.
“Perkara ini kita bawa dalam mesyuarat di peringkat kementerian. Bagaimanapun kita tunggu keputusan menteri pelajaran,” katanya. – BERNAMA

0 Response to "Bantuan P’sekolahan RM100 Mula Dibayar 15 Januari "

Post a Comment